Fruity Strawberry Heart
THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, March 26, 2011

Bukan Terlupa Tetapi Pura-Pura Lupa


alt
Apabila kita melihat manusia pada zaman kini, sudah banyak yang lari dari landasan yang benar. Ramai yang mula mengambil jalan singkat ke neraka sedangkan bilangan yang mengambil jalan yang diredhai oleh Allah SWT amatlah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil jalan singkat ke neraka ini.
Wahai kawan sekalian sedarkah anda,
Maksiat yang berleluasa di sana-sini,
Batas pergaulan pula tidak dijaga,
Pegangan agama entah ke mana?
Begitulah ibaratnya mereka yang bergelar Islam hanya pada namanya yang indah tertulis ‘Binti’dan ‘Bin’ namun perangainya tidak seindah itu. Inilah hakikatnya yang pahit. Sekiranya kita pergi ke mana-mana pusat membeli-belah, sudah tentu kita akan melihat si pembuat dosa ini bermaharajalela.
Ada yang tudungnya terbang,
Ada yang berpegang-pegangan,
Ada yang dirinya ditayang-tayang,
Sedihnya apabila agama tidak dipegang.
Kaum hawa terutamanya, sudah kian hilang rasa malunya. Tegar mendedahkan aurat di sana-sini. Seolah-olah perkara tersebut adalah perkara yang diredhai Allah. Apabila ditanyakan kepada mereka, "Bilakah akan terbuka hatimu untuk bertudung?". Pasti kebanyakan mereka akan menjawab seperti ini:
    • "Alaa...esok lusalah saya insaf!"
    • "Tudung itu harus dipakai dengan ikhlas,mana boleh paksa-paksa? Belum dapat petunjuk lagi, insyaAllah suatu hari nantilah."
    • "Suka hati akulah bila aku nak pakai tudung. Orang yang pakai tudung lagi teruk perangainya daripada aku, jangan sibuk nak tegur akulah."
    • "Kau jangan nak lecture aku. Aku tahulah apa yang betul atau tak!"
    Itulah kebanyakan jawapan dan alasan yang kita dengar daripada anak-anak gadis kita sekarang. Mari kita kaji pula tafsiran Surah An-Nur ayat ke-31.
    Katakanlah kepada wanita yang beriman:Hendaklah mereka menahan pandangannya,dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya,kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka,atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. [Surah An-Nur: 31]
    Sudah terang lagi bersuluh bahawa kaum hawa diwajibkan oleh Allah SWT untuk menutup aurat mereka. Tetapi mereka yang tidak tahu malu kepada Allah masih berani mengatakan bahawa mereka belum ’insaf’ untuk menutup aurat mereka.
    Wahai kaum hawa yang sudah hilang dari jalan yang benar, insaflah sementara pintu taubat Allah masih terbuka. Andai ajalmu tiba pada hari esok, semuanya sudah terlambat. Ingatlah!
    Menutup aurat itu bukanlah kehendak sama ada kita mahu atau tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
    Di antara punca utama mengapa kes-kes rogol kian berleluasa adalah kerana kaum wanita yang suka menayangkan tubuh mereka yang kononnya seksi, hot, dan pelbagai lagi istilah untuk menggambarkan betapa hebatnya badan mereka itu. Malah, ramai menyalahkan kaum lelaki kerana terlalu miang.
    Persepsi ini salah! Lelaki, kalau tidak ada apa-apa yang menaikkan syahwatnya, nescaya lelaki tidak akan bertindak sedemikian. Wanita kini yang sibuk berdandan terleka dan sibuk mengejarkecantikan duniawi sedangkan mereka lupa bahawa kecantikan yang paling diredhai Allah ialah kecantikan menutup aurat.
    Buat kaum adam pula, bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur, ayat ke-30 yang bermaksud:
    Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
    Jelas bahawa lelaki juga harus memelihara pandangan mereka dari perkara-perkara yang boleh mengundang maksiat. Namun,mereka lupa, atau pura-pura lupa. Yang lebih memalukan adalah ada yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
    Berpakaian terkoyak sini sana,
    Berseluar sendat nampak susuk badannya,
    Lelaki pula naik syahwatnya,
    Hingga maksiat kian berleluasa.
    Beginilah yang terjadi apabila kaum wanita ingkar perintah Allah SWT. Dosanya bukan sahaja kerana dia tidak menutup aurat, tetapi dosanya berlipat ganda apabila dipandang oleh lelaki sehingga timbul syahwatnya. Lelaki pula, dosanya bukan sahaja kerana melihat aurat si wanita, namun dosanya pasti berlipat ganda sekiranya lelaki itu berjaya memujuk sehingga hilanglah ’mahkota’ wanita tersebut.
    Kemudian,berdosa pula mereka yang membuang bayi luar nikah. Semuanya bermula kerana ingkar menutup aurat dan ingkar menjaga pandangan.
    Bukan sahaja soal aurat menjadi persoalan zaman ini,malah soal batas pergaulan menjadi isu yang panas.
    “Hai sayang...I rindu dengan you, nanti kita dating kat tempat biasa ye.”
    Manusia yang kemaruk cinta sebegini amatlah mudah untuk digoda syaitan untuk melakukan maksiat. Memang tidak hairan kerana di dalam masyarakat kita kini, budaya couple dianggap sebagai perkara biasa. Betapa salahnya mereka. Allah telah memerintahkan kaum lelaki dan wanita agar menjaga pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka.
    Allah tidak pernah menyuruh kita untuk bercouple, berpegang-pegangan dan bermesra-mesraan. Betapa manusia kini berpura-pura lupa. Sehinggakan ada yang sanggup berkorban segala-galanya demi si dia yang dicintai.
    Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu bukanlah hubungan pernikahan yang sah?
    Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu dilandaskan oleh nafsu dan kehendak hati yang dibisik oleh syaitan?
    Sekiranya mengadakan hubungan terlarang sebelum perkahwinan itu baik kononnya, fikirkanlah mengapa Allah menyuruh kita agar menjaga kehormatan dan pandangan kita?
    Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita. Cintailah Allah terlebih dahulu, nescaya kamu tidak akan hilang arah. Apabila si wanita dan lelaki berdua-duaan, mereka lupa bahawa pihak ketiga adalah syaitan. Orang yang bercinta begitu khusyuk menuturkan kata-kata cinta, sehinggakan mereka tertinggal solat dan meninggalkan pegangan agama mereka, semuanya kerana mereka tunduk kepada nafsu dan bisikan syaitan.
    Malulah kepada Allah SWT,
    Contohilah Rasulullah SAW,
    Jauhilah maksiat.
    Jagalah pandanganmu,
    Peliharalah auratmu,
    Wahai anak-anak Adam,
    Janganlah berpura-pura lupa,
    Kerana mungkin sahaja ajalmu esok.
    Stumble
    Delicious
    Technorati
    Twitter
    Digg
    Facebook
    Yahoo
    Feed

    0 comments: